“Satu kajian lain melibatkan 1,200 warga Kuala Lumpur berumur 55 tahun ke atas menunjukkan lebih 30% mempunyai masalah sakit lutut dan gejala osteoarthritis (radang sendi lutut).”
Sumber: HCTM, UKM
30% yang berumur 55 ke atas mengalami sakit lutut. Meskipun begitu sakit lutut tidak terhad kepada mereka yang berumur sahaja, malah orang muda juga boleh menghidapinya.
Dan kebiasaannya punca sakit lutut ini berbeza mengikut umur dan gaya hidup seseorang pesakit itu. Contohnya seorang atlet muda yang mengalami sakit lutut mungkin disebabkan kecederaan akibat aktiviti sukan yang dilakukan, manakala orang yang lebih tua mungkin disebabkan faktor penuaan.
Punca sakit lutut ni kalau tak dirawat dengan cepat, bukan sahaja dapat sakit berpanjangan malah boleh juga jejaskan emosi pesakit. Mana tidaknya, kebanyakan aktiviti seharian kita bergantung pada lutut yang membuatkan kita boleh berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Punca sakit lutut boleh diklasifikasikan seperti mengikut keaadaan
- Akibat bersukan, kemalangan dan trauma – kebiasaan anak muda
- Radang pada bahagian lutut
- Kecederaan akibat terseliuh dan terkehel – kebiasaan umur pertengahan
- Penyakit kronik – kebiasaan warga tua
Apabila kita menghidapi sakit lutut, ia akan merencatkan aktiviti harian kita. Seterusnya membuatkan kita rasa tertekan kerana banyak hal terbantut disebabkan pergerakan yang terhad.
Oleh itu, pentingnya untuk kita ketahui punca sakit lutut terlebih dahulu kemudian barulah boleh tentukan kaedah rawatan lutut yang betul.
Sebelum nak kenalpasti punca sakit lutut, penting juga untuk kita tahu anatomi atau organ-organ yang berada pada lutut. Setiap kecederaan organ-organ tertentu akan menunjukkan simptom yang berbeza.
Secara amnya, gambar berikut menunjukkan organ-organ yang membentuk satu anatomi lutut (tulang, ligamen, otot, tendon, cecair lutut).
Bunyi macam kompleks kan?
Jangan pening-pening, kami akan terangkan dengan mudah bagaimana setiap organ ni berkaitan dengan penyakit yang tertentu.
Teruskan membaca ya.
Punca sakit lutut disebabkan bersukan, kemalangan dan trauma
1. Ligamen otot terkoyak (ligament cruciate tear)
Ligamen dibahagian depan lutut dipanggil ligamen cruciate anterior (ACL). ACL yang terkoyak biasanya berlaku disebabkan kecederaan sukan. Akibatnya pesakit akan berhenti secara tiba-tiba . Pesakit juga biasanya mengadu terdengar bunyi atau rasa letup ‘pop’ bila kecederaan ini berlaku.
Manakala ligamen cruciate posterior (PCL) yang berada dibahagian belakang lutut dan lebih kuat hanya akan koyak bila berlakunya kecederaan yang berimpak tinggi. Contohnya penumpang kereta yang kemalangan, terutama yang duduk dibahagian depan. Lutut yang menghentam dashboard kereta berpotensi mengoyakkan PCL.
2. Kecederaan Meniscal
Meniscal adalah tulang rawan yang bertindak sebagai kusyen dalam lutut kita supaya dapat stabilkan dan elakkan tulang-tulang sendi daripada bergesel.
Sepertimana kecederaan ACL, kecederaan meniscal juga kerap berlaku kepada atlet yang aktif dalam sukan. Risiko kecederaan ini boleh meningkat seiring dengan peningkatan umur kerana lama-kelamaan meniscal boleh haus.
Meniscal atau tulang rawan yang cedera akan pecah dan terperangkap dalam cecair sendi lutut. Akibatnya, pesakit akan terasa lutut seperti terkunci dan sangat sakit bila cuba untuk membengkokkan lutut.
Punca sakit lutut disebabkan keradangan
Punca sakit lutut yang bukan disebabkan kemalangan biasanya disebabkan keradangan pada tisu lembut dalam lutut. Antara yang terkenal adalah seperti bursitis, synovitis, iliotibial tract syndrome, tendinitis.
3. Synovitis vs Bursitis
Bermula dari bahagian lebih dalam, cecair synovial adalah cecair yang terdapat dalam setiap sendi. Tujuannya adalah untuk mengelakkan pergeseran tulang sendi, bertindak sebagai pelincir sendi serta menyerap tekanan hentakan yang dikenakan pada sendi.
Bursa juga mempunyai cecair yang fungsinya lebih kurang sama tetapi saiznya yang lebih kecil dan terletak bersebelahan dengan tendon.
Keradangan pada kedua-dua tisu ni boleh menunjukkan simptom yang hampir sama. Namun synovitis selalunya dikaitkan dengan penyakit seperti arthritis atau gout.
4. Iliotibial tract syndrome
Jika anda seorang atlet dan mengalami rasa pedih dan sakit dibahagian luar lutut, anda mungkin alami sindrom ini.
Sindrom ini juga dikenali sebagai iliotibial band syndrome dimana sekumpulan tendon iliotibial bergesel dengan tulang lutut.
5. Tendinitis
Radang tendon yang biasa berlaku pada lutut juga dikenali sebagai patellar tendinitis.
Tendon patellar main peranan untuk luruskan lutut anda. Radang pada tendon ini biasanya berlaku pada atlet yang terlibat dalam sukan atau aktiviti yang kerap untuk melompat.
Punca sakit lutut disebabkan kecederaan ligamen, terseliuh dan terkehel
6. Sprain
Lutut terseliuh berlaku apabila ligamen yang berada pada sendi digunakan lebih daripada kemampuan. Contohnya bagi mereka yang tidak panaskan badan sebelum bersukan. Ini menyebabkan otot dan ligamen anda terkejut dengan aktiviti yang berlebihan daripada biasa.
7. Kneecap dislocation
Kneecap yang dimaksudkan disini adalah tulang patella yang menutup kepala lutut. Secara normalnya, tulang ini bergerak atas bawah sahaja apabila lutut diluruskan atau dibengkokkan.
Dislokasi berlaku apabila patella terkeluar ke tepi dari landasan asalnya. Bila hal ini berlaku, fungsi lutut yang normal tidak boleh dilakukan.
Penyakit kronik (osteoarthritis, rheumatoid arthritis, gouty arthritis)
Arthritis adalah punca sakit lutut yang biasanya berlaku untuk jangka masa panjang (kronik) dan merupakan hasil daripada penyakit asal yang lain. Contohnya;
8. Osteoartritis
Arthritis jenis ini adalah kesan daripada kecederaan meniscal untuk jangka masa panjang seperti yang telah diterangkan diatas dalam bahagian kecederaan lutut.
9. Artritis reumatoid
Artritis jenis ini berlaku secara sistematik iaitu akan melibatkan sendi-sendi yang lain.
Ini kerana ia berpunca daripada sistem imun pesakit yang menyerang tisunya sendiri, khususnya tisu lembut dalam sendi. Kesannya akan menyebabkan radang dan sakit pada setiap sendi.
10. Gout
Sakit sendi jenis ni pula berpunca disebabkan pembentukan kristal yang terbentuk dalam sendi.
Gout sangat sinonim bagi mereka yang suka makan makanan laut dan biasanya sendi yang terlibat adalah sendi ibu jari kaki. Meskipun begitu, sendi lutut juga berpotensi diserang gout.
11. Jangkitan (septic arthritis)
Sepertimana Rheumatoid Arthritis, Septic Arthritis juga bersifat systemik dimana melibatkan kebanyakan sendi. Bezanya adalah punca darimana datangnya penyakit ni. Septic arthritis boleh jadi berpunca daripada jangkitan organ lain yang telah mengalir dalam darah dan mensasarkan sendi.
12. Kanser (pathological fracture) disebabkan kanser lain pada tahap 4 atau kanser tulang
Tumor atau kanser awal yang bermula daripada tulang boleh mewujudkan ketidakselesaan pada tulang yang terlibat. Kanser daripada organ lain iaitu kanser tahap 4 juga boleh menyerang tulang-tulang menyebabkan tulang semakin rapuh dan mudah patah (pathological fracture).
Faktor & risiko sakit lutut
Seterusnya kita bincangkan faktor yang boleh meningkatkan risiko dan mempercepatkan perkembangan sakit lutut;
1. Obesiti
Seperti yang dibincangkan diatas, kebanyakan punca sakit lutut adalaah disebabkan aktiviti pergerakan lutut yang berlebihan. Berat badan yang berlebihan boleh memberi tekanan pada sendi lutut lebih berbanding berat badan yang normal.
2. Atlet
Aktiviti lasak atau jenis sukan yang memerlukan penggunaan lutut yang lebih agresif lebih cenderung untuk dapat sakit lutut. Asasnya tetap sama iaitu tekanan pada sendi yang berlebihan akan mempercepatkan kehausan sendi lutut.
3. Golongan tua
Kepadatan tulang akan semakin menurun seiring peningkatan umur. Tulang yang merepuh lebih mudah untuk patah. Selain itu, golongan tua cenderung terhadap penyakit yang telah lama wujud (kronik).
4. Kencing manis
5. Golongan kurang aktif (bedridden, stroke, disabled)
6. Sejarah kecederaan di bahagian lutut
Sepertimana penyakit lain, sejarah kecederaan ditempat yang sama sebelum ini akan meningkatkan lagi risiko untuk peroleh sakit itu kembali.
Tanda-tanda dan gejala
- Sakit
- Bengkak
- Berasa suam di bahagian lutut
- Pergerakan yang terhad
- Bunyi pada bahagian lutut ketika bengkok
- Ketidakstabilan / lutut longgar
Ujian untuk diagnosis punca sakit lutut
Kaedah ujian boleh dibahagikan seperti berikut;
1. Ujian pengimejan
- X-ray : untuk kenalpasti samaada melibatkan tulang atau tidak seperti patah. Juga digunakan untuk klasifikasikan tahap osteoarthritis.
- Ultrasound : suntikan lutut berpandukan ultrasound untuk kenalpasti tisu lembut yang cedera
- CT scan : rangkaan imej tulang yang lebih terperinci yang lebih berdimensi
- MRI : memperlihatkan imej tisu lembut yang lebih jelas dan terperinci
2. Ujian makmal
Memahami terdapat sakit lutut yang bersifat sistemik, maka pentingnya untuk analisa darah bagi mengenalpasti punca jangkitan jika ada. Selain itu, cecair lutut juga boleh diambil untuk buat analisa.
Setelah mengetahui diagnosis atau punca sakit lutut, kaedah rawatan boleh dirancang seperti berikut ;
Rawatan fizikal
1. RICE (rest, ice, compression, elevation)
Kaedah ini sesuai untuk punca sakit lutut yang akut (acute knee pain). Objektif kaedah ini adalah bagi merehatkan aktiviti lutut anda atau mengurangkan pergeseran. Disamping untuk surutkan bengkak yang terjadi. Baca lebih lanjut, cara hilangkan sakit lutut cepat.
2. Fisioterapi
3. Suntikan ubat
- Ubat : tahan sakit, anti radang
- Injection : steroid, local analgesics, prolozone, PRP, hyaluronic gel
4. Pembedahan
4.1 Arthroscopy
Pembedahan arthroscopy digunakan dalam kecedaraan yang tidak memerlukan apa-apa penggantian. Kamera optik fiber dimasukkan melalui torehan kecil yang dibuat pada sendi lutut. Kaedah ini diguna dalam situasi seperti untuk untuk baiki ligamen yang koyak atau untuk keluarkan serpihan meniscal yang pecah.
4.2 Penggantian sendi lutut separa atau penuh
Pakar bedah akan menggantikan bahagian lutut yang rosak dengan bahagian plastik dan logam. Gantian separa atau penuh bergantung pada tahap kerosakan bahagian lutut yang terlibat.
Seperti yang diberitahu pada awal artikel ini, sakit lutut jenis apa sekali pun, jangan berlengah. Amalkan kaedah rawatan R.I.C.E dan dalam masa yang sama jumpa doktor untuk kenalpasti punca sakit lutut yang sebenar. Barulah boleh tahu rawatan yang seterusnya.
Dapatkan Pendapat Pakar
Untuk mendapatkan rawatan yang tepat bagi masalah lutut anda, tempah temu janji dengan doktor ortopedik di klinik Amal Medik terdekat.
Kami menawarkan perkhidmatan perubatan yang komprehensif, termasuk pemeriksaan dan rawatan untuk pelbagai masalah sendi dan tulang.
Dengan doktor berpengalaman dan kemudahan moden, kami akan memastikan anda menerima diagnosis yang tepat dan pelan rawatan yang sesuai.
Hubungi kami hari ini untuk jadualkan temujanji anda dan mulakan perjalanan pemulihan anda.