Sakit tapak kaki tetap boleh berlaku walaupun anda tidak mempunyai mana-mana faktor yang dinyatakan nanti. Namun, jika ada satu atau lebih, ini boleh meningkatkan lagi kemungkinan untuk anda dapat sakit tapak kaki.
Berikut adalah faktor risiko yang boleh menyumbang kepada sakit tapak kaki:
#1 Umur tua
Kebanyakan penghidap sakit tapak kaki terdiri daripada golongan orang tua atas faktor struktur kaki yang sudah melemah. Seiring dengan peningkatan umur, tapak kaki akan menjadi semakin melebar dan rata. Tapak kaki yang rata, terutamanya pada tumit kaki menjadikan struktur kaki tidak stabil dan mudah sakit bila bergerak.
#2 Aktiviti lasak
Faktor ini selalu berkait dengan golongan kanak-kanak dan orang muda. Mereka lebih cenderung untuk melakukan aktiviti lasak dimana impak yang kuat yang selalu dikenakan terhadap tapak kaki boleh membantut pertumbuhan yang normal pada tumit kaki.
#3 Jantina
Golongan wanita lebih cenderung untuk dapat sakit tapak kaki. Ini kerana berkaitan dengan pemakaian kasut tumit tinggi atau kasut yang berbentuk tirus.
Selain itu, ibu mengandung juga selalu mengadu sakit tapak kaki disebabkan peningkatan berat badan yang mendadak dan bengkak air pada kaki. Tambahan, hormon yang dirembeskan semasa mengandung yang menyebabkan ligamen kaki menjadi relaks juga menjadi faktor terhadap sakit tapak kaki.
#4 Faktor risiko pekerjaan
Terdapat banyak jenis kerja yang selalu dikaitkan dengan sakit tapak kaki. Hal ini disebabkan pengulangan sesuatu tugasan kerja yang melibatkan tapak kaki.
#5 Sukan
Mereka yang selalu melakukan senaman aerobik yang agressif adalah berisiko untuk dapat plantar fasciitis yang menyebabkan sakit tapak kaki.
#6 Obesiti & Diabetis
Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti berisiko dapat sakit tapak kaki disebabkan tekanan yang ditampung pada tapak kaki.
Mereka yang menghidapi kencing manis atau diabetis pula berisiko tinggi untuk dapat jangkitan tapak kaki disebabkan pengaliran darah yang tidak bagus.
Secara umumnya, segala aktiviti atau keadaan boleh tambahkan tekanan dan ketegangan pada tapak kaki boleh menyebabkan sakit. Ini termasuklah cara anda berjalan/beraktiviti (mekanikal) dan rupa bentuk kaki anda (struktur kaki).
Berikut faktor yang biasa menyebabkan sakit tapak kaki;
- Banyak berjalan, berlari atau berdiri secara berterusan.
- Mempunyai postur kaki dan otot yang lemah.
- Mempunyai kaki atau sendi pergelangan kaki yang keras.
- Mempunyai berat badan yang berlebihan, akibatnya terdapat tekanan tambahan pada tumit kaki.
- Mempunyai perbezaan panjang pada kaki kiri dan kanan.
- Memakai kasut yang tidak selesa atau ketat seperti kasut tumit tinggi.
Untuk dapatkan info lanjut berkenaan sakit tapak kaki, anda boleh baca artikel berikut: Sakit Tapak Kaki Mencucuk-cucuk? Kenalpasti Punca & Cara Rawat.