Skip to main content

Pernah tak anda rasa semut-semut, kebas tangan kanan (atau kiri) ?

Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan tangan berasa kebas. 

Tangan kebas merupakan satu keadaan di mana tangan kita akan berasa seolah-olah terasa seperti dicucuk-cucuk. Lokasi kebas ini boleh merebak dari jari tangan ke lengan dan bahu. Ianya bergantung kepada keseriusan masalah yang dialami.

Sebab?

Selalunya disebabkan oleh kompresi, kecederaan atau iritasi pada saraf di bahagian tangan. Ianya sangat penting untuk mengetahui punca berlakunya masalah tangan kebas ini kerana ia akan dapat membantu dalam proses rawatan.

 

Punca sakit/ kebas tangan kanan

 

kebas-tangan-kanan

#1 Carpal Tunnel Syndrome

Pada bahagian dalam pergelangan tangan kita terdapat satu terowong kecil yang dipanggil Carpal Tunnel dimana menjadi laluan saraf-saraf tangan kita.

Dalam laluan saraf tersebut, saraf Median adalah saraf yang berada paling luar di permukaan pergelangan tangan.

Dan Carpal Tunnel Syndrome berlaku apabila saraf Median termampat yang menyebabkan berlakunya rasa kebas atau semut-semut pada kawasan jajahan saraf Median seperti yang ditunjukkan dalam gambar diatas.

Hal ini kerap berlaku pada mereka yang sering buat kerja menggunakan laptop secara berterusan. Bila tangan kanan digunakan untuk kawal tetikus dan menaip dalam tempoh yang panjang, saraf Median kita akan paling mudah terhimpit pada permukaan meja.

Kebas tangan kanan pada kawasan deria saraf Median iaitu pada ibu jari, telunjuk, tengah dan separuh manis menguatkan lagi hujah bahawa anda mengalami masalah sindrom Carpal Tunnel.

 

kebas-tangan-kanan#2 Kecederaan pada ‘brachial plexuses’

‘Brachial plexus’ merupakan cawangan saraf pada bahu, lengan serta tangan kita. Oleh itu, jika saraf pada cawangan ini mengalami sebarang kecederaan, ianya akan membawa kepada tangan menjadi kebas.

#3 Kekurangan vitamin B12

Semua vitamin penting dan mempunyai kesan jika jumlah yang diperlukan oleh badan kita tidak mencukupi. Kekurangan vitamin khususnya vitamin B12 dalam badan boleh membawa kepada masalah saraf, termasuk deria tangan yang sedang kita bincangkan ini.

 

#4 Sebarang kecederaan pada tulang belakang

Kecederaan serius pada tulang belakang bukan sahaja akan membawa kepada masalah tangan kebas malah kaki dan tempat lain juga boleh turut berasa kebas.

 

#5 ‘Ganglion cyst’

Ini merupakan sebuah ketulan kecil yang selalunya timbul pada pergelangan tangan. Ketulan ini kadang kala akan memberikan tekanan kepada saraf berhampiran sehingga menjadikan tangan kebas.

 

#6 Kencing manis

Masalah ini memang boleh mendatangkan kebas bukan sahaja pada bahagian tangan, tetapi kaki juga blh terlibat. Ia akan mula pada kaki dan perlahan-lahan naik sehingga ke tangan.

 

#7 Penyakit jenis ‘auto immune’

Penyakit ‘auto immune’ seperti ‘Guillain Barre Syndrome’, SLE dan ‘Rheumatoid arthritis juga boleh menyumbang kepada masalah tangan kebas.

 

Gejala sakit tangan

Pesakit harus cakna and mengambil tahu gejala sampingan yang terjadi, selain dari kebas tangan.

Hal ini akan membantu para doktor mengenal pasti masalah yang menyebabkan tangan kebas ini.

 

Pemeriksaan / ujian untuk kenalpasti punca sakit tangan

Pemeriksaan fizikal dilakukan untuk kenalpasti jika terdapat masalah hilang deria rasa sentuhan, refleksi atau pergerakan yang lemah.

Contohnya seperti gambar dibawah. Setiap kawasan yang berbeza mewakili masalah saraf yang berbeza.

 

Pemeriksaan seterusnya adalah bagi membezakan sama ada saraf yang terlibat itu berpunca dari saraf tepi (periphery) atau saraf tunjang (otak dan tulang belakang).

Selain itu, ujian darah juga dibuat untuk kenalpasti jika terdapat masalah penyakit-penyakit lain yang menyebabkan kebas tangan itu. Tahap kadar gula juga penting untuk pastikan ia bukan berpunca daripada kencing manis. Ini kerana penyakit ini sering menunjukkan tanda kebas dan hilang deria sentuhan.

Kaedah imbasan imej seperti xray, imbasan CT dan MRI pula dilakukan untuk kenalpasti sama ada terdapat masalah struktur yang mengganggu laluan saraf kita.

 

Kaedah rawatan kebas tangan kanan

Seperti biasa, sebelum pergi pada kaedah rawatan yang lebih khusus, anda boleh amalkan rawatan yang dicadangkan ini dulu.

#1. Tambahbaik aktiviti harian anda

Bagi kes yang menghimpit saraf anda seperti Carpal Tunnel Syndrome, anda boleh ubah gaya anda kepada yang lebih ergonomik. Contohnya gunakan pad tetikus yang boleh menyokong pergelangan tangan anda.

Baiki cara tidur yang betul juga boleh mengurangkan risiko kebas tangan kanan.

Selain itu, anda juga boleh amalkan senaman khusus bagi bahagian anggota yang anda rasa kebas.

 

#2. Gunakan wrist guard

Untuk memastikan saraf berada pada laluan yang betul, anda boleh gunakan alatan sokongan seperti wrist guard.

Gunakan alatan ini dalam tugasan berulang supaya dapat kurangkan tekanan pada saraf.

 

#3. Ubat topikal

Bagi meredakan kesakitan, anda boleh gunakan krim atau tampalan yang dibenarkan oleh doktor.

 

#4. Ambil vitamin B-12

Bagi kes kebas tangan yang disebabkan oleh kekurangan vitamin B-12, anda boleh ambil makanan tambahan vitamin B-12 yang terdapat dipasaran.

Selain itu, anda boleh tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan sumber vitamin B-12 seperti ikan salmon atau telur.

 

Jika masalah ini masih berlarutan, anda digalakkan untuk dapatkan nasihat daripada doktor. Bagi sesetengah kes kebasa tangan, pembedahan kecil perlu dilakukan bagi atas masalah kebas tangan ni, terutamanya yang melibatkan keadaan saraf terhimpit.