Skip to main content

Tahukah anda bahawa tapak kaki kita terdiri daripada 26 tulang, 33 sendi lebih 100 tendon pada kaki kita? Dan tulang tumit adalah tulang terbesar pada tapak kaki kita.

sakit-tapak-kaki

Setiap hari kita akan menggunakan kaki untuk berjalan, berlari, melompat, mendaki dan aktiviti fizikal yang lain. Jadi tidak hairanlah kita lebih terdedah untuk hadapi sakit tapak kaki. Lagi-lagi jika kita gunakan kaki kita luar dari kebiasaan.

Amat jarang rawatan pembedahan dibuat untuk masalah sakit tumit atau tapak kaki. Tapi kalau anda tak dapatkan rawatan segera, sakit ini akan jadi lebih kronik yang memerlukan tempoh penyembuhan yang lebih lama.

Dalam artikel ini, kami akan nyatakan masalah sakit tapak kaki yang sering berlaku dikalangan masyarakat berserta punca-punca sakit tapak kaki.

Teruskan membaca agar anda lebih cakna.

 

Punca sakit tapak kaki

Untuk mendapatkan rawatan yang betul, kita mesti tahu sakit itu datang dari bahagian mana;

Sakit di bahagian tumit (belakang atau sisi)

  1. ‘Plantar fasciitis’- ia adalah radang yang terjadi di bahagian ligamen halus yang menghubungkan tumit dengan jari-jari kaki di tapak kaki. Selalunya, tapak kaki akan berasa sangat sakit ketika berdiri selepas bangun dari tidur.sakit-tapak-kaki
  2. ‘Heel spur’– Ia adalah lebihan tulang yang tumbuh secara tidak normal di bahagian bawah tumit. Lebihan tulang tersebut akan membuatkan tapak kaki terasa sakit ketika berjalan atau berdiri. Sesiapa yang mempunyai tapak kaki yang rata cenderung untuk mempunyai ‘heel spur’ yang menyakitkan.sakit-tapak-kaki
  3. Patah tulang tumit – disebabkan oleh kecederaan dengan impak yang tinggi seperti jatuh daripada tempat yang tinggi atau kemalangan kereta. Tulang di bahagian tumit bukan sahaja patah malah ia boleh berkecai. Sakit, lebam, bengkak dan tidak dapat berjalan adalah simptom-simptom yang utama.

Sakit di bahagian jari kaki (bahagian depan tapak kaki)

  1. Gout – Kristal gout telah terkumpul di sendi-sendi jari kaki, kebiasaannya ibu jari. Ini menyebabkan sakit yang teruk dan bengkak. Kebiasaannya pesakit mempunyai tabiat mengambil makanan yang tinggi purine seperti makanan laut.
  2. Bunion’ – ia adalah benjolan di pangkal ibu jari kaki.Ia terjadi kerana masalah berkaitan dengan sendi bagi ibu jari kaki dan selalunya terdapat dalam kalangan warga tua. Kasut yang tidak selesa dan kasut tumit tinggi boleh menjadi salah satu puncanya.sakit-tapak-kaki
  3. ‘Hammertoe’ – ia terjadi apabila jari kaki yang kedua, ketiga dan keempat melengkung di sendi yang tengah-tengah, membentuk seperti tukul. Ia  boleh terjadi kerana ketidakseimbangan otot dan kasut yang ketat.
  4. Morton’s neuroma’ – penyakit ini menyebabkan tisu bengkak di sekitar saraf-saraf yang berdekatan dengan bahagian bawah jari kaki. Terasa sakit dan rasa kebas di bahagian jari kaki. Sangat biasa terjadi dalam kalangan wanita kerana memakai kasut tumit tinggi atau kasut yang ketat.

Faktor risiko sakit tapak kaki

Secara umumnya, segala aktiviti atau keadaan boleh tambahkan tekanan dan ketegangan pada tapak kaki boleh menyebabkan sakit. Ini termasuklah cara anda berjalan/beraktiviti (mekanikal) dan rupa bentuk kaki anda (struktur kaki).

Berikut faktor yang biasa menyebabkan sakit tapak kaki;

  • Banyak berjalan, berlari atau berdiri secara berterusan.
  • Mempunyai postur kaki dan otot yang lemah.
  • Mempunyai kaki atau sendi pergelangan kaki yang keras.
  • Mempunyai berat badan yang berlebihan, akibatnya terdapat tekanan tambahan pada tumit kaki.
  • Mempunyai perbezaan panjang pada kaki kiri dan kanan.
  • Memakai kasut yang tidak selesa atau ketat seperti kasut tumit tinggi.

Diagnosis untuk kenalpasti punca sakit tapak kaki

Sebelum buat apa-apa ujian, doktor akan tanya berkenaan sakit yang dihadapi dan kenalpasti faktor-faktor risiko yang dinyatakan diatas. Tidak terkecuali sejarah perubatan pesakit, ini kerana terdapat juga penyakit-penyakit lain yang boleh menyumbang kepada sakit tapak kaki.

  • Xray: Ujian ini mesti dibuat untuk lihat struktur tulang yang terlibat.
  • Ultrasound atau MRI: Jika imbasan tulang semuanya normal tapi simptom masih ada, ujian ini akan digunkan untuk kenalpasti masalah tisu lembut pula yang mungkin boleh jadi punca sakit tapak kaki.

 

Rawatan sakit tapak kaki

Pemilihan rawatan bergantung pada diagnosis. Setiap punca sakit berbeza rawatannya. Dan kebanyakan masalah sakit tapak kaki boleh sembuh dengan rawatan selain pembedahan (non-surgical treatments) seperti;

 

  1. Fisioterapi
  2. RICE (rest, ice, compression, elevation) untuk kurangkan keradangan sendi
  3. Mengawal faktor risiko seperti pemakaian kasut yang betul, penjagaan berat badan dan sebagainya.

Fokus rawatan dan terapi adalah untuk;

  1. kurangkan rasa sakit dan radang
  2. tingkatkan pergerakan fizikal tapak kaki
  3. kurangkan tekanan dan ketegangan pada tapak kaki

Berikut pula merupakan rawatan yang ada untuk sakit tapak kaki;

  • Ubat-ubatan: ubat tahan sakit, anti radang.
  • Injeksi atau suntikan ubat: steroid, prolozone, PRP.
  • Pembedahan (jika betul-betul perlu).

Kesimpulannya, sakit tapak kaki ni kebanyakannya boleh sembuh dengan rawatan yang mudah dan cepat. Oleh itu, dapatkan nasihat doktor untuk kenalpasti apakah punca sakit tapak kaki anda.

Anda boleh dapatkan nasihat daripada barisan doktor-doktor kami yang berdekatan dengan lokasi anda. Untuk berhubung dengan doktor kami, sila KLIK DI SINI.